Sabtu, 22 Oktober 2011

Salam kepada pembaca sekalain. Kali ini penulis ingin berkongsi dengan kerja kursus yang telah penulis buat pada semester 4 yang lalu (Julai-Disember 2010) berkaitan dengan keagungan Al-Quran. walau bagaimanapun, dalam usaha menerbitkan penulisan ini penulis mengalami sedikit masalah dan gambar yang digunakan juga tidak dapat ditunjukkan kepada pembaca sekalian. Dukacita walaupun pada mulanya hampir siap menyalin tetiba masalah teknikal berlaku.sedih hati.....sama-samalah renungkan.


Keistimewaan Al-Quran Bukti Kekuasaan Allah

1.0 PENDAHULUAN

Al-quran adalah kalam Allah S.W.T yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melaui perantaraan malaikat Jibril a.s. Nabi Muhammad S.A.W merupakan seorang ummi iaitu tidak tahu membaca mahupun menulis. Surah pertama yang diwahyukan kepada baginda ialah Surah Al-Alaq yang diturunkan pada 15 Ramadhan ketika Nabi berusia 40 tahun di Gua Hira’.

Setelah itu, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 22 tahun, 2 bulan, dan 22 hari berdasarkan kepada keperluan dan keadaan yang tertentu. Ia dibahagikan kepada 114 surah yang mengandungi 30 surah, 6236 ayat, 86430 perkataan dan 323,760 huruf-huruf arab.
Keagungan Al-Quran tidak dapat disangkal lagi dengan akal fikiran manusia. Hal ini kerana Al-Quran telah merakamkan pelbagai peristiwa sama ada yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku sama ada secara terangan atau berkias. Walau bagaimanapun, Allah S.W.T menuntut manusia untuk mengkaji dan memahami setiap ciptaan yang terdapat di persekitaran kita. Fenomena alam misalnya tidak diketahui dengan jelas suatu ketika dahulu memandangkan menusia pada ketika itu sedang bergerak maju. Kini, dengan perkembangan teknologi dan sains yang semakin meningkat, penemuan-penemuan yang menarik dan menakjubkan mula terbongkar.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas berdasarkan penemuan-penemuan baru yang sering dijumpai oleh para pengkaji Barat mengenai sesuatu fenomena alam seperti kejadian hujan, petir, ombak di dasar lautan, pertemuan air laut dan air sungai yang tidak bercantum, perkembangan bayi dalam kandungan dan sebagainya. Allah S.W.T berfirman dalam surah Fusilat ayat 53 yang bermaksud :

Kami telah memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah kepada mereka bahawa ia (al-Quran) adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagimu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu.

Menurut tafsir Ibn Kathir maksud ayat ini ialah Allah S.W.T akan menunjukkan bukti-bukti bahawa al-Quran adalah benar dan sesungguhnya ia diturunkan dari Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui tanda-tanda luaran. Apa yang dimaksudkan dengan tanda-tanda di sini mungkin juga manusia dan kandungan fizikalnya.

Penulisan ini akan membincangkan tentang beberapa perkara yang menarik antaranya perkembangan telur sehingga menjadi anak ayam,. Oleh itu, diharapkan agar kita sentiasa bersyukur dan menilai hikmah kejadian-kejadian yang berlaku di persekitaran kita dengan sebaiknya dan meningkatkan keimanan kita kerana manusia merupakan makhluk yang lemah dan tiada yang mengetahui melainkan Allah S.W.T jua.

2.0 BUKTI KEKUASAAN ALLAH

2.1 Penciptaan Ayam Dan Telur

        “engkau keluarkan dari yang hidup dari yang mati, dan engkau keluarkan yang mati dari yang hidup” (Surah Al-Imran ayat 27)

Berdasarkan Surah Al-Imran ayat 27, sebahagian mufassirin memberi contoh ayat ini dengan mengeluarkan anak ayam dari telur, dan telur dari ayam. Dan dapat juga diertikan dengan penggiliran kekuasaan di antara bangsa-bangsa dan timbul tenggelamnya sesuatu umat adalah menurut hukum Allah.

Keadaan ini memperlihatkan kita bahawa Allah sebenarnya berkuasa untuk menciptakan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti mengenainya. Sesuatu yang menjadi teka-teki bagi kita hingga kini ialah antara ayam dan telur, manakah yang wujud terlebih dahulu?. Sekiranya telur yang wujud dahulu, pasti akan ada ibu ayam yang menghasilkan telur tersebut dan mengeramkan telur tersebut sehingga menetas seekor anak ayam. Sekiranya ayam yang wujud dahulu, bagaimana ayam itu wujud sedangkan ia terhasil dari sebutir telur? Semua ini adalah bukti kekuasaan Allah yang sukar untuk kita fikirkan. Perlu kita tahu, telur sebenarnya adalah benda yang mati iaitu tidak bergerak mahupun bernyawa. Namun selepas beberapa ketika akan keluar dari telur itu ialah seekor anak ayam. Jadi benarlah dengan keadaan yang mengatakan keluar benda hidup dari yang mati.

Bagaimanakah telur yang mati itu berkembang sehingga dapat mengeluarkan anak ayam didalamnya sedangkan dari akal fikiran kita, bagaimanakah anak ayam tersebut terbentuk dan dari manakah ia mendapatkan makanan? Gambar rajah di bawah menunjukkan proses perkembangan sebutir telur bermula dari telur sehinggalah menjadi seekor anak ayam yang lengkap bentuknya.

          

 
Melalui gambar-gambar di atas, kita dapat lihat perubahan yang berlaku pada sebutir telur yang kemudiannya berubah dan berkembang menjadi seekor anak ayam. Perkembangan tersebut mengambil masa selama 20 hari. Keadaan ini bermula dengan pembentukan bulatan kecil gelap yang akan membentuk sistem saraf yang mempunyai sistem peredaran darah, kepala, badan dan saraf tunjang. Keadaan ini akan berkembang sehingga membentuk kerangka janin anak ayam yang seterusnya berkembang sedikit demi sedikit menjadi janin anak ayam yang matang.

Perkembangan ini akan berterusan dengan perkembangan anggota-anggota ayam seperti jantung, sistem dalam badan, bulu-bulu dan kuku. perkembangan telur sememangnya sesuatu yang menguji kemampuan manusia kerana tiada jalinan yang berlaku antara anak ayam yang berada di dalam telur dengan ibu ayam. Keadaan ini berbeza dengan kejadian manusia yang berkembang di dalam rahim ibu dan memerlukan perhubungan dengan ibu kerana janin akan menyerap nutrien yang diambil oleh ibu untuk perkembangannya.

Walau bagaimanapun, keadaan ini juga menunjukkan keadaan yang sama dengan perkembangan manusia di dalam rahim ibu sebagaimana perkembangan telur tersebut. Manusia terbentuk dari gabungan ovum dan sperma yang akan membentuk telur yang kemudiannya berkembang sebagaimana perkembangan telur tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kebijaksanaan Allah S.W.T. dalam menciptakan sesuatu yang tidak mampu ditiru oleh manusia atau diciptakan semula oleh manusia. Walaupun terdapat kajian untuk menghasilkan manusia robot atau menghasilkan bayi melalui kajian makmal namun, kuasa Allah S.W.T mengatasi kebolehan manusia.

2.2       Keajaiban Yang Terdapat Pada Lalat
Berkas:Diptera1.jpg









Setiap serangga yang wujud di sekeliling kita mempunyai sifat-sifat yang istimewa. Sebagai contoh, lalat dapat terbang sebaik sahaja ia dilahirkan. Boleh dikatakan, apabila membincangkan tentang terbang, lalat adalah makhluk yang paling berbakat.
Seekor lalat dapat mengepakkan sayapnya sekitar 500 hingga 1000 kali setiap saat. Sesuatu yang menghairankan, dan perlu difikirkan sejenak. Kadar yang disebutkan bukan sejam dan tidak juga seminit tetapi sesaat. Ia tidak sama dengan masa yang kita gunakan untuk mengelipkan mata. Lalat dapat menyepakkan sayapnya sekurang-kurangnya 500 kali ketika kita membuka dan menutup mata.
            Secara logiknya, adalah sukar untuk digambarkan sekiranya kita melakukan aktiviti membuka dan menutup tangan selama 10 kali dan bukannya 500 kali. Sudah tentu mustahil untuk melakukannya 500 kali dengan otot-otot yang kita miliki. Begitulah kejadian Allah S.W.T terhadap lalat, dengan otot-otot luar biasanya, ia dapat melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh manusia. Tambahan pula, lalat tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika mengepakkan sayapnya dalam erti kata lain otot terbangnya (kepak atau sayap) tidak akan tercabut. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa Allah telah menjadikan lalat dengan sistem penerbangan yang sangat hebat.
Jika kita dapat melihat lalat dengan dekat, ia tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika atau pun untuk terbang. Kadangkala, kita merasa terkejut kerana dengan tiba-tiba lalat dapat berada di sesuatu tempat dan bergerak ke tempat yang lain dalam keadaan yang cukup pantas. Bagaimanapun, sebenarnya ia adalah gerakan yang penting dan sukar bagi lalat. Sebagaimana penciptaan kapal terbang dan helikopter. Manusia mula menggunakan kapal terbang hari ini yang hanya direka pada hujung abad lepas. Hal ini bererti beratus-ratus tahun dahulu, tidak terdapat kapal terbang atau helikopter seperti yang ada sekarang. Jurutera dan juruteknik telah mengkaji sekian lama. Mereka bekerja selama beberapa tahun dan hanya berjaya menghasilkannya tidak beberapa lama dahulu. Perhatikan, hingga ke hari ini tidak ada satu pun mesin yang dapat terbang seperti lalat. Ciri-ciri ini terdapat pada beberapa jenis helikopter yang maju. Tetapi berapa lama pun usaha yang dijalankan dan enjin canggih yang kuat, helikopter ini masih tidak memiliki kebolehan untuk terbang seperti lalat.
Selain itu, kita dapat perhatikan bahawa lalat tidak terbang dalam keadaan yang lurus. Lalat dapat terbang ke mana saja yang dikehendakinya dengan melakukan gerakan yang lincah. Contohnya, ia dapat melakukan "zigzag" di udara, dan melakukan peralihan mengejut. Ia dapat mendarat di atas sebarang permukaan, walau sesukar mana sekali pun. Ia dapat mendarat di atas siling atau dinding secara menegak dengan mudah.
Tiada satu pun mesin terbang yang dapat melakukan semua perkara ini. Kapal terbang sekalipun tidak dapat berhenti menejut atau pun bergerak dalam keadaan yang lincah sebaliknya memerlukan masa untuk melakukan sebarang pergerakan yang sesuai. Kapal terbang juga tidak dapat mendarat sesuka hati sebaliknya perlu mendarat di kawasan-kawasan yang stabil dan sesuai dengan kapal tersebut. Kita boleh bayangkan di dalam minda keadaan kapal terbang dan seekor lalat berlepas untuk terbang, dan kita dapat bandingkan manakah yang paling sempurna penerbangannya.
Sekarang, kita mungkin akan terfikir persoalan, siapakah yang mengajar lalat ini melakukan semua gerakan seperti ini melainkan ia adalah ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Allah telah mengurniakan lalat dengan kebolehan yang sempurna yang tidak dapat ditandingi oleh manusia.
Walau bagaimanapun, manusia menganggap lalat tidak memberi sebarang faedah sebaliknya membawa keburukan kepada manusia. Seharusnya kita melihat lalat ini sebagai salah satu ciptaan Allah S.W.T yang sangat hebat berdasarkan mata lalat. 

2.3       Air Dua Lautan Yang Tidak Bercampur Apabila Bertemu Menurut Al-Quran

Muara sungai merupakan tempat air bergerak secara dinamik yang menjadi pertembungan antara air sungai dan air laut. Dua jenis air ini tidak akan bercampur dengan mudah sebaliknya ia lebih berpotensi untuk membentuk lapisan-lapisan yang bertindih antara satu saman lain.
Air laut mengandungi 35 bahagian per seribu garam-garam yang larut, terutamanya natrium klorida (NaCl), dan ia lebih tumpat dari air tawar. Air laut juga lebih tumpat dari air tawar pada keadaan suhu yang sama. Air masin merupakan pengalir elektrik dan cahaya lebih terbias atau bengkok di dalam air laut berbanding air tawar. Allah berfirman dalam surah al-Rahman ayat 19 dan 20 yang bermaksud :

Dia membiarkan dua lautan mengalir yang kemudiannya keduanya bertemu.(19)
Antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing (20)

Hal ini jelas menunjukkan bahawa air dua lautan yang bertmau tidak akan bercampur kerana air alutan tersebut mempunyai perbezaan dari segi kandungan garam, ketumpatan dan suhu. Hal ini mustahil diketahui oleh manusia pada zaman dahulu terutamanya Nabi Muhammad kerana baginda tinggal di kawasan padang pasir yang kering dan tandus.

Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Furqan ayat 53 yang bermaksud :
Dan Dia yang membiarkan dua lautan mengalir yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalang.

Melalui penyataan ini dapat dilihat bahawa Allah telah menerangkan kepada kita bahawa air laut dan air sungai yang bertemu tidak akan bercantum antara satu sama lain. Allah telah membahagikannya mengikut keperuan semua makhluk-makhluknya berdasarkan keperluan mereka. Ayat yang bermaksud dinding dan batas yang menghalang boleh dimaksudkan dengan halangan untuk menghalang satu menemui yang lain.
Kajian sains mendapati bahawa air sungai dan air laut tidak bercampur seolah-olah ada penghalang antaranya. Fenomena ini tidak diketahui oleh manusia semasa al-Quran diturunkan.
3.0              KESIMPULAN

Masyarakat Islam kini sedang berhadapan dengan masalah yang begitu gawat. Masyarakat Islam di Malaysia khususnya sedang mengalami keruntuhan akhlak kerana terpengaruh dengan cara hidup bebas. Masalah-masalah seperti zina yang berleluasa, pembuangan bayi hasil zina, perceraian suami isteri, rogol, sumbang mahram dan sebagainya semaikn meningkat dari hari ke hari. Masalah-masalah seperti ini jika tidak ditangani dengan segera akan melemahkan masyarakat Islam dan akhirnya akan menyebabkan kemusnahan umat Islam di Malaysia.
            Bagi menyelesaikan masalah ini, pengukuhan dari aspek akidah perlu diambil memandangkan masalah-masalah yang berlaku adalah disebabkan oleh kelemahan iman seseorang dan bukan kerana kekurangan pendidikan agama. Pendekatan biasa yang perlu dilaksanakan dalam pengajaran akidah perlu diperkukuhkan dengan kaedah memperkukuhkan iman seseorang. Seseorang individu yang mengakui berpegang kepada ajaran Islam seharusnya tidak ragu-ragu dan semakin yakin dalam meyakini bahawa al-Quran itu merupakan kitab yang diturunkan oelh Allah untuk penduan semua umat manusia.
            Hal ini kerana dengan terbuktinya beberapa peristiwa dan kejadian yang terdapat di sekeliling kita akan membuktikan bahawa al-Quran itu benar dan tidak ada sesiapa yang berupaya untuk meniru atau menghasilkan bait-bait puisi yang sebegitu indah. Walaupun dikumpulkan semua makhluk dalam dunia ini, al-Quran tidak dapat ditandingi. Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 23 bermaksud :
Sekiranya kamu ragu-ragu kepada apa yang telah Kami turunkan kepada hambaKu maka datangkanlah satu surah yang sepertinya dan ajaklah semua pembantu-pembantu kamu selain Allah sekiranya kamu orang-orang yang benar.

Umat Islam kini perlu diberikan pengukuhan yang bersesuaian untuk memperjelaskan kepada mereka kaitan fenomena alam dengan penghayatan al-Quran. Fenomena-fenomena tersebut akan memperjelaskan tentang al-Quran dan seterusnya akan membuktikan bahawa perkara yang dikatakan di dalam al-Quran itu benar. Begitu juga dengan kewujudan syurga dan neraka yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.. Apabila manusia telah yakin bahawa al-Quran adalah benar maka ia akan percaya semua perkara yang dinyatakan dan akan meyakini uluhiyah, nubuwah, sam’iyat dan ruhaniyah dan seterusnya dapat membentuk generasi yang taat kepada perintah Allah dan mengamalkan ajaran Islam dengan baik.


BIBLIOGRAFI






Tiada ulasan:

Catat Ulasan