Rabu, 3 November 2010

Bersahabatlah...

Menjadi sahabat yang positif dalam kehidupan, memerlukan satu tindakan dari hati yang ikhlas dan dibantu dengan tindakan untuk direalisasikan. Sebagaimana kita memerlukan seseorang menjadi sahabat, teman atau kenalan yang baik, individu-individu lain juga mempunyai pemikiran yang sama untuk memilikinya. Persoalannya, adakah kita telah menjadi sahabat yang positif sebelum ini?

Sifat sahabat yang positif dalam bayangan mukmin disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh An-Nu'man Ibn Basher dalam Sahih Bukhari : Perumpamaan mukmin yang berkasih sayang seperti tubuh badan, jika sakit salah satunya, maka sakitlah keseluruhannya. Menjadi sekukuh bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain, adalah gambaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dalam pengamalan etika persahabatan mukmin.

Abul-Barakaat Badrud-Deen al-Ghazzee memberi pandangan ataupun nasihat yang bernas, cara untuk menjadi sahabat yang baik dan mampu memberi pengaruh positif.

Berlaku baik terhadap orang lain
  • Sentiasa berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana dalam sebuah hadis riwayat Usamah Ibn Shareek berkenaan saranan Nabi Muhammad SAW ketika ditanya: "Apakah pemberian terbaik oleh seorang manusia?" Jawabnya "Perbuatan yang baik"

Bentuk jiwa persahabatan mukmin kerana Allah
  • Manusia yang membentuk tali persahabatan kerana Allah, sentiasa mencari ruang untuk memotivasi dirinya ke arah kebaikan bersama-sama. Persahabatan positif merupakan ibadah dan merupakan pelaburan jangka panjang di akhirat.
Memberi pandangan yang baik
  • Seboleh-bolehnya cuba untuk memberi gambaran dan imej yang baik terhadap rakan-rakan dan meletakkan kelebihan dan kebaikannya melebihi perbuatan buruknya.

Timbulkan rasa malu untuk berkelakuan kurang elok di hadapan rakan
  • Rasa malu adalah sempadan yang baik dalam membina karakter persahabatan yang baik. Rasa malu secara langsung menggambarkan rasa hormat terhadap perasaan orang lain yang melihatnya.

Fahami bahawa setiap kelebihan adalah rezeki dari Allah
  • Elakkan rasa dengki dan tidak berpuas hati terhadap kelebihan orang lain. Jadikan kelebihan tersebut sebagai sumber untuk dipelajari dan elakkan diri daripada terdorong mencari jalan menyusahkan orang lain. Kelebihan diri harus dikongsi dengan meletakkan niat tidak ada daya yang memberi kelebihan tersebut melainkan Allah.

Berilah nasihat yang baik yang datang dari hati
  • Nasihat timbul atas rasa sukakan kebaikan dan kasih sayang terhadap seseorang. Elakkan nasihat-nasihat yang bertujuan menegur untuk memalukannya atau menunjukkan kepandaian diri. Nasihat yang baik adalah satu doa untuk kebaikan terhadap sahabat. Sampaikan secara peribadi bukan dalam keadaan terbuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan